Sunday, January 3, 2010

Cerita Air Tercemar di Kediaman





















Teguk air karat

AMPANG: “Nak bayar bil air pun rasa tak ikhlas,” luah seorang penduduk di Taman Dagang Fasa 1 di sini, mengenai bekalan air mengandungi karat dan tekanan air yang terlalu rendah.

Penduduk, Maimun Samsudin, 48, berkata bekalan air sangat kotor dan dikhuatiri akan menyebabkan masalah kesihatan jika ia digunakan untuk tujuan memasak.

“Sebelum ini, saya pernah menggunakan penapis air untuk mendapatkan bekalan air bersih serta tidak berbau, tetapi ia tetap berwarna kekuningan dan masih berbau,” katanya yang menetap di taman perumahan berkenaan hampir 20 tahun.

Katanya, masalah itu timbul sejak 2001 sebelum menjadi semakin serius dua tahun lalu dan pada mulanya, dia menyangka tangki air di rumahnya rosak atau berkarat, justeru menukarnya pada Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya masalah air berkarat itu tidak juga selesai, malah tekanan air menjadi rendah, menyebabkan aliran air ke paip rumah terlalu perlahan sehingga sukar melakukan aktiviti harian seperti membasuh serta mandi.

Menurutnya, apabila tangki lama diturunkan, dia terkejut melihat keladak karat setebal 10 sentimeter di dalamnya dan yakin masalah air kotor sebenarnya berpunca daripada saluran paip bawah tanah yang berkarat.

Dia berkata, saluran paip itu digunakan sejak 20 tahun lalu dan masih tidak diganti sehingga kini, menyebabkan bekalan air ke rumah semua penduduk di taman berkenaan berkarat.

Katanya, kemungkinan saluran paip tersumbat disebabkan karat dalamnya, sekali gus menyebabkan tekanan air rendah dan aliran perlahan.

Maimun berkata, taman berkenaan mempunyai 482 rumah dan hampir semua dipasang alat penapis air sama ada di luar atau dalam bagi menangani masalah air kotor itu, namun ada penduduk yang tidak memasangnya lantaran kos pemasangan serta penyelenggaraan yang tinggi.

Menurutnya, ketika mengadakan majlis perkahwinan anak sulungnya awal tahun lalu, dia terpaksa menakung air bersih dalam bekas khas untuk ketika memasak, selain menggunakan paip air dari rumah jiran akibat masalah air berkarat dan bertekanan rendah menjadi semakin teruk di rumahnya.

Katanya, bekalan air di rumahnya hanya digunakan untuk membasuh dan mandi saja, manakala untuk memasak, dia terpaksa membeli air bersih daripada alat penapis dengan harga RM3 bagi 10 liter, sejak lima tahun lalu.

“Kira-kira 150 liter air bersih dibeli untuk penggunaan sebulan. Sebelum ini saya sekeluarga tidak mengambil berat mengenainya dan menggunakan saja air berkarat berkenaan, namun selepas ujian air dilakukan syarikat pembekal alat penapis air membuatkan saya mengambil langkah ini walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan,” katanya.

Masalah itu turut dikongsi Samsudin Mohamad, 47, yang mengakui kualiti bekalan air di taman perumahan itu sangat teruk, berwarna kekuningan serta berbau sehingga melekat pada pinggan mangkuk yang dibasuh.

“Kualiti air seperti ini boleh memudaratkan kesihatan penduduk jika pihak berkenaan tidak mengambil langkah segera (menggantikan paip bawah tanah),” katanya yang memasang alat penapis air di rumahnya sejak tiga tahun lalu.

Katanya, kos pemasangan alat penapis air di rumahnya mencecah RM2,500 dan jumlah itu tidak termasuk kos penyelenggaraan setiap bulan RM400 untuk sekali penukaran penapis.

Menurutnya, dalam tempoh sebulan dia terpaksa menukar penapis empat kali selepas alat itu disaluti karat tebal yang menunjukkan air terbabit memang tidak selamat digunakan.

“Saya berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera menggantikan paip saluran yang lama tertanam itu kerana jika ia tidak digantikan masalah ini tidak akan selesai, malah boleh menyebabkan kesan pada kesihatan penduduk,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Teguk-air-karat/Article/



Tangki air ada bangkai - Hasil pemeriksaan Syabas di rumah pengguna

KUALA LUMPUR - Pantang ada masalah air kotor berlaku, rata-rata kebanyakan 7.5 juta pengguna air di Kuala Lumpur, Putrajaya danSelangor biasanya 'menuding jari' kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Kadangkala tuduhan itu bukan semuanya salah Syabas malah ia juga berpunca daripada sikap pengguna sendiri mengakibatkan air yang disalurkan kotor, keruh dan berkeladak.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, masalah air kotor itu kebanyakannya berpunca daripada sistem paip dalaman di rumah pengguna yang tidak diservis dengan baik.

Hal itu terbukti melalui beberapa siri pemeriksaan tangki air rumah yang dilakukan Syabas sejak beberapa tahun lalu. Penemuan terbaru dibuat di sebuah rumah di Kampung Baru di sini semalam.

Sungguh menjijikkan apabila melihat tangki air yang diperiksa. Ia disaluti karat tebal, berlendir dan mengeluarkan bau busuk hingga kelihatan seperti sebuah tangki najis.

"Kebanyakan pengguna Syabas tidak menyedari bahawa masalah bekalan air paip kotor di rumah mereka kebanyakannya berpunca daripada sistem paip di dalam rumah," katanya ketika ditemui selepas program Turun Padang Syabas di sini semalam.

Menurut Abdul Halem, pemeriksaan Syabas mendapati kira-kira 80 peratus daripada 1,076 aduan bekalan air kotor yang diterima pihaknya sejak 6 April lalu berpunca daripada sistem paip atau tangki air di dalam rumah yang telah usang dan berkarat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm
Air paip berkarat

JASIN: Seorang kerani sekolah dari Taman Sri Sempang, Merlimau, dekat sini, terkejut apabila mendapati kain lampin anaknya dibasuh menggunakan mesin basuh di rumah ada tompok kekuning-kuningan akibat masalah air berkarat.

Noraini Abdul Karim, 32, berkata dia pada mulanya menyangka kejadian itu mungkin berlaku sekali, namun ia berlaku berulang kali hingga menjejaskan kehidupan harian keluarganya.

“Apabila melihat warna kain lampin itu bertompok-tompok kekuningan, saya hairan lalu mengambil keputusan menadah air daripada saluran paip mencari punca masalah itu.

“Saya terkejut melihat air paip berkarat. Apa yang pasti, kejadian air berkarat berlaku hampir setiap hari dan menimbulkan masalah kepada kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Menurutnya, dia kecewa dengan masalah air berkarat yang berlaku sejak Julai lalu hingga terpaksa menunggu air bersih sebelum membasuh pakaian keluarganya.

“Kebiasaannya selepas pulang kerja, saya akan segera membasuh pakaian, namun sejak kejadian itu, saya terpaksa menunggu air bersih untuk membasuh baju.

“Selain itu, saya terpaksa mengasingkan setiap pakaian putih kerana khuatir warnanya akan bertukar menjadi tompok kekuningan,” katanya.

Katanya, masalah air berkarat bukan saja dialaminya, malah kira-kira 50 keluarga lain di taman perumahan berkenaan mendakwa menghadapi keadaan sama, tetapi enggan membuat aduan.

“Pernah sekali saya mengadu kepada rakan berhubung kejadian air berkarat, dan dia memaklumkan mungkin proses cucian tangki dilakukan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

“Namun, apabila ia berlaku setiap hari, saya terfikir adakah proses cucian ini berlaku setiap hari sedangkan ada ketika air mengalir bersih seperti biasa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Air-paip-berkarat/Article/

StumbleUpon.com

0 comments: